jump to navigation

.::MALAM PERTAMA DI ALAM BARZAKH::. May 30, 2009

Posted by waklibon in Uncategorized.
add a comment


Pernahkah kita melihat kuburan?
Pernahkah kita melihat gelapnya kuburan?
Pernahkah kita melihat sempit dan dalamnya liang lahat?
Pernahkah kita membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?
Sedarkah kita bahawa kuburan itu dipersiapkan untuk kita dan untuk orang-orang selain dari kita?

Bukankah telah silih berganti kita melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?

“Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?”

Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama’ serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza.

“Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?”

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!

THE LAST BREATH

Di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi’ bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut. Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat:

“Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu).” (Surah Al-Mu’minun, ayat 99-100)

Kemudian ia menjawab sendiri; “Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi’..” Dan disebabkan hal tersebut, Rabi’ bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah!

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti?

Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya. “Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!”

Sempit rezeki disebabkan dosa? May 13, 2009

Posted by waklibon in Uncategorized.
add a comment

“Hishh, sudah berbelas tahun saya bekerja keras siang dan malam, tapi hasilnya tak seberapa. Apa yang tak kena…” “Apa lagi kerja yang saya tak buat. Semua sudah saya buat. Bak kata orang, pergi pagi balik malam, tapi rezeki saya sekeluarga tak juga cukup-cukup. Entah apa nak jadi…”

Begitulah bunyi keluhan ramai orang yang kita jumpa. Kadangkala kita juga seakan-akan pernah mengomel dalam bahasa yang sama, tak begitu??

Masyarakat nyata tertekan dan gelisah menghadapi situasi tersebut lebih-lebih lagi dalam suasana hambatan ekonomi yang mencengkam serta kos kehidupan yang semakin tinggi. Kerana terlalu memikir dan melayan tekanan hidup itu tanpa rasa tawakkal dan pengaduan kepada Allah yang Maha Bijaksana dan Mengetahui, maka hari demi hari, dilaporkan semakin bertambah ramai jumlah sang pengembara yang terpaksa pulang mengejut kerana telah disapai tetamu tak diundang, ‘The silent killer’ yang menjadi sebab-musabab membawa kepada kematian.

Tetamu senyap itu apa lagi kalau bukan tekanan darah tinggi. Saat awal dilanda kemelut (tekanan hidup) ini, bagi sebahagian masyarakat Islam yang mampu, mereka mungkin cuba mendapatkan khidmat kaunseling dari kaunselor bertauliah. Tak cukup dengan itu, mereka bertemu dengan pakar-pakar motivasi. Lalu beberapa tip dan panduan dibekalkan untuk tindakkan jangka pendek dan jangka panjang.

Antaranya: faktor perancangan masa (Time manegement), faktor displin, faktor belajar dari kegagalan, faktor meraih peluang dan macam-macam lagilah.

Mereka juga disarankan agar membaca karangan-karangan hebat ‘mereka’ yang dinobat sebagai ‘paling berjaya’ dalam bidang-bidang yang popular samada dalam bidang ekonomi, pentadbiran, pengurusan, keewangan dan lain-lain lagi. Saat itu, berkobar-kobar semangat mereka untuk meraih kejayaan dan keuntungan yang berlipat ganda.

Namun bila terjun semula ke alam realiti atau dunia sebenar, masalah sebenar mereka masih juga tidak hilang. Masalah hidup makin bertimpa-timpa. Pintu rezeki semakin menyempit dan hutang pula semakin melilit pinggang. Kawan-kawan yang konon rapat dan berikrar sehidup semati dengan kita dulu pun, ramai yang telah ‘angkat kaki’ hilang entah ke mana. Tanpa kembali kepada Islam, jawapan kepada ‘ketidaktentuan’ rezeki kita itu tidak akan terjawab sampai bila-bila.

Bila pintu rezeki ditutup Allah, maka dunia terasa menghimpit. Inilah yang dinamakan ‘Khizyun’ yakni kehinaan dunia akhirat. Wal ‘iyazubillah.

Dosa penghalang rezeki

Dari awal lagi, Islam telah mengajar umatnya bahawa meninggalkan ketaqwaan di dalam apa jua aspek kehidupan akan mengundang kemiskinan dan kemelaratan. Macam-macam kemiskinan boleh berlaku bila taqwa tidak dimiliki.

Semuanya termaktub di dalam alquran dan sunnah Rasulullah SAW. Tidak miskin harta, seseorang yang melakukan dosa terus menerus tanpa taubat boleh jadi miskin iman, miskin hidayah, miskin ilmu, miskin akhlak dan adab, miskin maruah dan jatidiri. Dalam kata-kata yang lain, kalau taqwa menjadi faktor ‘pengundang’ rezeki, keberkatan dan rahmat Ilahi, maka kesan dosa, maksiat dan mungkar adalah sebaliknya.

Lalu, pernahkah selama ini terfikir dan terlintas di hati kita, bahawa dosa yang kita lakukan samada terhadap Allah dan sesama manusia selama ini menjadi faktor atau penyebab ‘sempit’ dan ‘terhalang’nya rezeki Allah dari rezeki kita? Tersebut di dalam sebuah kitab Musnad, “Sesungguhnya manusia terhalang dari rezeki lantaran dosa yang dilakukannya.”

Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ad Dailami, Rasululah SAW bersabda: “Perbuatan zina itu mewariskan (mendatangkan) kefakiran (kemelaratan) .”

Memang benar. Itulah hakikatnya. Melalui hadis-hadis Rasulullah SAW berkenaan keutamaan amalan, bukankah istighfar kepada Allah, menghubungkan silaturrahim, memberi sedekah, mengeluarkan zakat dan banyak lagi menjadi faktor ‘pengundang’ dan ‘pembukaan’ pintu-pitu rezeki? Semua itu tidak lain adalah amalan taqwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Jikalau penduduk sesuatu penduduk kampung (negeri) beriman dan bertaqwa, nescaya Kami akan bukankan ke atas mereka (pintu-pintu) keberkatan dari pihak langit dan pihak bumi.” Manusia yang tinggi taqwanya, mampu pula mengagih-agihkan kurniaan dan rezeki Allah kepada insan-insan yang lain pula.

Demikianlah pengalaman benar pemandu-pemandu teksi di zaman tok kenali rahimahullah. Wali Allah dan alim besar yang terkenal kelahiran negeri Serambi makkah. Sekiranya beliau menaiki mana-mana teksi, maka dengan izin Allah, maka pemandu-pemandu teksi tersebut akan mendapati penumpang yang sentiasa penuh (tidak putus) dari awal pagi hinggalah ke petang. Bukankah ia satu kuniaan Allah hasil ketaqwaan?

Rezeki tidak berkat

Tanpa asas taqwa, seandainya seseorang itu dilihat melimpah ruah hartanya sekalipun, ia tak lebih merupakan ‘istidraj’ dari Allah. Itulah pemberian yang disertai laknat dan kutukkan. Mahukah kita dikurniakan rezeki sebegitu? Mahukan kita pemberian yang sedemikian? Kalau jawapan kita ‘ya’, maka kita tak lebih umpama Qarun, Tha’labah Yahudi Mabuk serta yang sama waktu dengan mereka.

Bagi golongan ini wang, harta dan kemewahan adalah segala-galanya. Dari mana punca dan sumbernya, tidak pernah diambil kira. Mereka langsung tidak memperdulikannya. Lihat kesudahan mereka. Tiada apa lagi yang boleh menahan mereka daripada terkubur hina bersama dengan harta haram dan syubhat yang mereka usahakan selama ini.

Rasulullah SAW menamsilkan bahawa harta dunia ini selamanya tidak akan membawa kepuasan jiwa. Nafsu tidak akan merasa cukup walau sebanyak mana pun harta yang ada. Sudah dikendong dan dikilik dunia yang pertama di tangan kanannya, ia meminta pula agar dikurniakan dunia yang kedua dan ketiga. Macam orang yang sangat dahaga yang diberi minum air laut. Dahaganya tidak hilang-hilang. Apalagi kalau harta tersebut diperolehi secara haram seperti dari sumber judi, rasuah, riba, menipu, memeras ugut dan sebagainya.

Bagaimana perasaan hati kita tinggal, membesarkan anak-anak dan beribadat di dalam rumah yang dibeli secara riba? Menaiki kenderaan yang dibeli secara riba ke masjid, ke majlis ilmu dan pergi menziarahi saudara mara? Tidak malukah kita memakan rezeki pemberian tuhan dalam keadaan tidak bersujud, menyembah dan mentaati segala perintah yang Esa?

Tenangkah suasana ‘airmuka’ kita saat membeli juadah santapan untuk seisi keluarga dengan duit hasil rasuah atau sogokkan orang pada kita? Atau dari hasil judi dan tikam ekor? Hati kita tidak terasa apa-apa lagikah? Kalau begini halnya, percayalah bahawa tiada lagi berkatnya dalam usaha bahkan dalam rezeki kita. Inikah yang kita cari sepanjang musafir kita di dunia ini?

Begitulah buruknya kesan dosa dan maksiat dalam kehidupan kita. Mudah-mudahan kita dipelihara Allah SWT. Suluhlah hakikat diri dan kehidupan kita selama ini. Nescaya kita akan dapati ada kebenarannya apa yang kita utarakan ini.

Jangan lupa, kiaskan pula pada keluarga dan masyarakat kita. Ingatlah, sekiranya dosa membeliti diri, maka kurniaan rezeki tidak lagi menguliti. Sekalipun ia tampak menguliti diri, namun sama-sekali ia tidak diberkati.
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: “Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: “La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam galak dakwah secara berhikmah May 13, 2009

Posted by waklibon in Uncategorized.
add a comment
Kesabaran Rasulullah sebar risalah suci perlu dicontohi sepanjang zaman

DAKWAH kepada Islam adalah antara kewajipan yang dituntut kepada ummah dalam usaha menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Kewajipan berdakwah adalah seruan kepada melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Kewajipan berdakwah satu kewajipan yang besar lagi getir serta menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi tiang atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Oleh itu, Allah memerintahkan umat Islam menyampaikan mesej Islam dengan penuh berhikmah. Hikmah adalah pendekatan terbaik dalam menyampaikan ajaran Islam di samping mempunyai kaitan dengan kesenian berdakwah.

Sheikh al-Sabuni ketika menafsirkan ayat itu, menjelaskan pengertian berdakwah dengan hikmah bermaksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci secara bijaksana, berlemah-lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela.

Ulama dakwah mengklasifikasikan hikmah kepada beberapa jenis, iaitu hikmah mengenal status manusia, memilih masa sesuai, mencari titik pertemuan sebagai tempat bermula untuk maju secara sistematik.

Pendakwah terbabit dalam medan dakwah sudah pasti akan berdepan pelbagai ragam serta perangai manusia seperti mereka yang kuat berpegang dengan tradisi, mereka yang bersifat konservatif, kumpulan jahil dan bodoh dan yang masih ragu kerana salah faham.

Dalam konteks ini, pendakwah hendaklah berdepan sasaran masing-masing melalui cara yang sesuai dengan tahap keilmuan dan kecerdasan di samping mengambil kira aspek pemikiran, perasaan serta sahsiah peribadi mereka.

Pendakwah yang berjaya mampu menyampaikan mesej dakwah dan buah fikirannya kepada sekalian manusia sekalipun berbeza daripada segi pemikirannya, sahsiah peribadinya dan darjat serta dapat menarik seterusnya mengubah pemikiran mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami diperintah supaya berbicara dengan manusia menurut kadar akal (kecerdasan mereka masing-masing).” (Hadis riwayat Muslim)

Pendakwah juga mesti bijak memilih waktu dan suasana sesuai seperti bilakah masanya dia perlu diam, bilakah pula waktunya dia mesti berbicara dan begitulah seterusnya sehingga dia dapat memperoleh hasil yang baik daripada strateginya itu.

Jika ditinjau dalam sirah Rasulullah SAW pada permulaan Islam, Baginda menerima perintah Ilahi seperti firman Allah bermaksud: “Berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat.” (Surah al-Syu’ara’, ayat 214)

Bertolak daripada itu, Rasulullah SAW memulakan misi dakwah secara rahsia terutama pada tiga tahun pertama melalui hubungan individu.

Baginda mendekati individu yang hampir dengannya dan juga kaum kerabat terdekat untuk sama-sama berkumpul dan bernaung di bawah lembayung Islam.

Kemudian, Rasulullah SAW berhasrat menyampaikan Islam kepada khalayak, tetapi dihalang Abu Lahab dengan membangkitkan isu yang menimbulkan fitnah. Apakah reaksi Baginda?

Rasulullah SAW hanya diam dengan tidak membalas, bahkan tetap tenang dan itu adalah jawapan sebenar, bahkan itulah jawapan paling tepat dalam suasana sedemikian.

Di samping itu, Rasulullah SAW mempunyai kesenian dalam berbicara. Baginda berbicara buat pertama kalinya kepada kaum kerabat dengan ringkas kerana mereka baru mendengar mengenai Islam.

Jika bicara terlalu panjang lebar, mereka pasti menjauhi Baginda. Bicara Rasulullah SAW pada asasnya sangat padat dengan hikmah dan amat rapi susunan bahasanya.

Rasulullah SAW berbicara ibarat seorang yang membangun atau mendirikan rumah, menyusun batu-bata selapis demi selapis sehingga menjadi bangunan kuat, kukuh dan indah.

Seorang manusia pada hakikatnya susah menerima buah fikiran baru yang dirasakan asing sama sekali. Justeru, pendakwah mesti pandai atau berhikmah memulakan perbicaraan yang sudah tentu menuntut tafsiran mendalam berpandukan ilmu yang sahih.

Pendakwah perlu berhikmah dalam mencari titik pertemuan sebagai tempat bertolak dan dari sana dia maju secara perlahan, selangkah demi selangkah dengan istiqamah ke arah matlamatnya..

Ajaran Islam cukup daya tarikan, pendakwah mesti pandai memilih cara tepat dan kaedah unik untuk menyampaikannya dengan pendekatan menarik bagi mengajak khalayak mendampingi Islam.

Ini jelas menerusi surat perutusan Rasulullah SAW kepada Raja Heraklius di Rom dan Muqauqis di Mesir yang beragama Nasrani. Rasulullah SAW memanggil mereka dengan gelaran Ahlul Kitab yang bermaksud tuan punya kitab suci.

Ini dirakamkan Allah dalam ayat 64, surah Ali-Imran bermaksud: “Wahai ahli kitab marilah kepada kalimah yang sama antara kami dan kamu, iaitu janganlah kita menyembah melainkan Allah dan janganlah kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Dia, dan janganlah sebahagian daripada kita menjadikan sebahagian lainnya sebagai tuhan selain Allah dan jika mereka berpaling katakanlah: Saksikanlah bahawa kami ini adalah orang Islam.”

Pendakwah mesti pandai memulakan dan mengakhiri perbicaraannya. Ketika mengakhiri perbicaraan gunakan perkataan yang boleh menusuk ke lubuk hati, bukan kata pahit dan kesat yang meninggalkan kesan buruk.

Satu lagi saluran berkesan menyampaikan dakwah teladan yang baik dan bahasa bersesuaian dengan keadaan. Rasulullah SAW semasa pertama kali menjejakkan kaki di Madinah al-Munawwarah dan sebelum masuk kota, Baginda SAW mendirikan Masjid Quba iaitu masjid pertama dalam sejarah Islam.

Rasulullah SAW berhenti di tempat itu, tanpa banyak berbicara Baginda terus memulakan kerja. Diriwayatkan seorang wanita bernama Syamus Nu’man yang hadir pada waktu itu berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW waktu mula sampai, Baginda turun dan berhenti, lalu mengajak sahabat mendirikan masjid itu, aku melihat Baginda mengangkat batu besar sehingga terhuyung-hayang kerana beratnya batu itu, seorang sahabat datang dan berkata kepada Baginda: Ya Rasulullah biarkanlah! Serahkanlah kepadaku untuk mengangkatnya. Rasulullah SAW menjawab: Tidak, ambil saja batu lain yang seperti ini.”

Demikianlah Rasulullah SAW mempamerkan teladan berkesan kepada sahabatnya iaitu turut bersama kaum Muhajirin sehingga masjid itu disempurnakan. Rasulullah SAW bukan saja pandai mengarah dan banyak bercakap tetapi juga banyak membuat kerja.

Begitulah antara pengertian hikmah berdakwah yang menjadi aset terpenting dalam menjamin kelangsungan serta kejayaan dakwah Islam kepada umat manusia sejagat. Manusia hari ini bukan setakat mendengar apa diperkatakan tetapi melihat bagaimanakah tingkah laku pendakwah di rumahnya dan dalam lingkungan masyarakat.