jump to navigation

Ramadhan al-Mubarak October 9, 2008

Posted by waklibon in Uncategorized.
trackback

AlhamduliLlah kita semua telah selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan 2008. Semoga amal kita diterima oleh Allah. Sepanjang menjalani ibadah puasa kita telah bersama-sama menunaikan solat terawih secara berjemaah. AlhamduliLlah semua merasai tanggungjawab untuk menyemarakkan malam ramadhan dengan imam yang berganti-ganti.

Saya merasa amat tersentuh dengan kerjasama sahabat-sahabat menghidupkan malam ramadhan dengan majlis ilmu dan tazkirah. AlhamduliLlah kita telah melatih rijal-rijal baru untuk menyampaikan tazkirah walaupun dengan kekurangan pengalaman dan ilmu. Ini adalah medan dakwah; medan dakwah adalah medan jihad. Sahabat-sahabat memberikan kerjasama tidak lari dari tanggungjawab dan medan perjuangan ini. Masing-masing memainkan peranan yang hasilnya hanya diukur dengan keikhlasan pengabdian kepada Allah.

Sahabat-sahabat juga melakukan tadarus al-Quran dengan suatu wajah yang amat berbeza dengan tahun-tahun yang sudah dimana setiap ayat yang dibacakan dihayati dengan makna dan pentafsiran satu persatu. Sahabat-sahabat bukan sekadar mengejar untuk tergesa-gesa khatam, atau sekadar mengambil berkat tetapi benar-benar menghayati isi kandungan dan mesej daripada al-Quran.

Kita juga dimeriahkan dengan kehadiran bakal ulama muda saudara Hafiz yang mengumandangkan bacaan merdu persis bacaan di Masjidil Haram. Kami mengagumi keberanian saudara Hafiz menegur secara lantang kesilapan-kesilapan lazim yang turun temurun diamali oleh masyarakat setempat. Ini mewarisi sikap ulamak-ulamak muktabar yang mujtahid, tidak takut untuk membuat islah kedalam masyarakat, tidak gentar meskipun terhadap umarak dan pelbagai tohmahan tidak berasas yang dilemparkan kepada beliau.

Semoga kita berjumpa lagi Ramadhan di tahun yang mendatang…Amin….

Comments»

No comments yet — be the first.